Wednesday, 19 June 2013

Peribahasa

Jauhari Juga Yang Mengenal Manikam

Seorang pakar atau cerdik pandai permata dikenali sebagai jauhari. Manikam pula ialah batu permata atau intan. Di dalam konteks ini, hanya jauhari atau pakar permata yang dapat mengenal atau menilai batu-batu permata.

 
Batu Permata

Pepatah jauhari juga yang mengenal manikam bermaksud bahawa sesuatu ilmu itu hanya diketahui oleh pakarnya.

Di dunia ini manusia belajar untuk mendapatkan ilmu. Ilmu yang diperoleh digunakan untuk pelbagai maksud. Ada sesetengah manusia itu belajar semata-mata untuk menghadapi peperiksaan. Ada juga mereka yang belajar itu sekadar memenuhi impian pihak lain, seperti ibu bapa, keluarga dan sebagainya.

          Banyak juga yang menuntut ilmu agar mereka menjadi mahir dalam sesuatu bidang. Banyak fakulti atau bidang ilmu di universiti. Bidang-bidang ini menjurus kepada penumpuan kepada bidang tertentu secara spesifik. Bidang-bidang secara spesifik ini menjadikan seseorang itu pakar atau mahir di dalam bidangnya.

            Sekiranya seseorang itu mahir dalam sesuatu bidang, beliau :
  1. Mampu atau boleh melaksanakan pekerjaan yang berkaitan bidang yang diceburinya, atau dengan kata lain mencapai impian atau cita-citanya.
  2. Mengelak daripada pihak lain memperdayakannya.
  3. Memanfaatkan pihak lain dengan kepakaran yang beliau miliki.   

Rumusan :

Seseorang itu haruslah menuntut ilmu bagi menjadikannya mahir. Bagi seseorang yang baik, kemahiran bukan sahaja dapat membina atau membentuk nilai seseorang itu, secara global. Kemahiran juga dapat memajukan keluarga dan negara.


.......................................................................................................................................................................

Garam Jatuh Di Air 

Garam


Pepatah ini bermaksud seseorang yang menerima sesuatu nasihat, serta mematuhi nasihat itu dengan sempurna.

 Air laut sememangnya masin. Jika dimasukkan sebanyak mana air yang ada di sungai-sungai di dunia ini, tidak akan merubah rasa air laut yang masin itu. Jika dimasukkan ke dalam laut, airnya tetap masin. Fitrah atau sifat semulajadi air laut dan garam adalah sama iaitu masin.

 Fitrah manusia inginkan kebaikan. Manusia suka melihat perkara yang baik-baik.Sejahat-jahat manusia, mereka juga mahukan kebaikan. Pernah juga kita terdengar orang-orang kurang akhlaknya mahukan pasangan yang beriman.

          Hakikatnya, manusia pada hari ini belajar secara formal kerana terpaksa. Apa tidaknya, seawal usia 4 tahun, mereka telah disuruh pergi ke sekolah. Dalam keadaan terpaksa, mengantuk dan letih, mereka bangun dan pergi ke sekolah. Pada hari-hari biasa, kadang-kadang ibu bapa memaksa anak-anak yang ada ketikanya malas untuk ke sekolah. Seawal usia muda, anak-anak ini dinasihati untuk ke sekolah bagi menuntut ilmu. Anak-anak pula menerima nasihat itu dengan mudah ( walaupun kadang-kadang malas untuk taat )

          Fitrah manusia suka kepada kebaikan. Menerima nasihat yang baik akan menerima pulangan yang besar kepada manusia itu sendiri. Pada awalnya anak-anak hanya menerima nasihat ibu bapa. Lama kelamaan anak-anak ini akan ikhlas dan akan belajar bersungguh-sungguh.

          Keikhlasan harus ditunjukkan dengan bukti bahawa anak-anak boleh berjaya sehingga ke menara gading iaitu suatu ukuran seorang pelajar. Bagi mencapai cita-cita tersebut para pelajar haruslah mempunyai matlamat dan cita-cita untuk berjaya.

Rumusan :

Ikhlas tidak datang dengan sendirinya. Banyak faktor yang mengundang kepada keikhlasan. Hanya yang mahu menerima nasihat daripada mereka yang bijak serta berpengalaman akan dapat menempa kejayaan.


......................................................................................................................................................................


Jika Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya


Ruyung ialah kulit atau kayu yang keras daripada batang pokok rumbia. Pokok ini menghasilkan sejenis makanan yang dinamakan sagu. Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut harus dipecah-pecahkan terlebih dahulu.


Pokok Rumbia

          Pokok ini pula sukar didekati kerana kedudukannya yang kadang-kadang berdekatan dengan paya dan di dalam hutan. Pendek kata, usaha untuk mendapatkan sagu bukanlah satu usaha yang mudah. Dari rumah lagi, seorang pencari sagu haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal. Parang dan kapak seharusnya tajam. Persiapan menghadapi binatang-binatang buas dan berbisa kemungkinan juga harus dititikberatkan.

Pokok yang telah ditebang

Maksud pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya bermaksud sesuatu cita-cita atau matlamat itu tidak akan tercapai tanpa usaha yang keras.

          Bagi mencapai sesuatu matlamat, seseorang itu harus berusaha. Usaha yang berterusan harus mempunyai elemen-elemen berikut:

  1. Mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencapai kejayaan.
  2. Mempunyai keyakinann yang tinggi, bahawa usaha yang hebat akan menghasilkan kejayaan.
  3. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dan sanggup membantu orang lain bagi mencapai kejayaan sama.
  4. Mempunyai kaedah yang hebat untuk berjaya.
Rumusan :

Kesungguhan untuk berjaya boleh menghasilkan kejayaan. Untuk mencapai kejayaan itu, pelbagai kaedah boleh digunakan mengikut kesesuaian masing-masing.


......................................................................................................................................................................

Seperti Melepaskan Batok Di Tangga

Dahulu, masyarakat yang tinggal di kampung-kampung berkaki ayam. Kebayakan rumah terdapat tempayan yang berisi air dan diletakkan diluar rumah. Kebiasaannya tempayan-tempayan diletakkan di tangga-tangga rumah. Sebelum memasuki rumah, pengguna akan menggunakan pencedok untuk mengambil air dan dijirus ke kaki. Pencedok ini dibuat daripada tempurung kelapa dan mempunyai tangkai. Pencedok ini dikenali sebagai batok.Selepas membasuh kaki, pengguna harus menggantung semula batok untuk digunakan oleh orang lain.

Batok

Peribahasa ini bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan secara tidak bersungguh-sungguh atau sambalewa.

Seseorang pelajar haruslah membuat kerja dengan tertib dan kemas. Pelajar-pelajar haruslah mempunyai kriteria-kriteria berikut bagi menjadikan diri mereka orang yang mementingkan pelajaran dan tidak sambalewa dalam melakukan pekerjaan:
  1. Mempunyai matlamat dalam hidup dan matlamat belajar.
  2. Mempunyai cita-cita.
  3. Mempunyai kemahuan untuk berjaya.
  4. Mempunyai kemahuan untuk berjaya.
  5. Mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya.
  6. Sanggup berusaha bersungguh-sungguh.
  7. Mempunyai kaedah yang sesuai untuk berjaya.
  8. Menghormati orang lain.
Rumusan :

Orang yang mahu berjaya tidak akan melakukan kerjanya sambalewa. Mereka akan bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka mahu mencapai cita-cita yang telah lama mereka pendamkan. Sikap sambalewa menghasilkan keputusan yang tidak memeuaskan banyak pihak dan biasanya keputusan itu ditolak oleh penilai.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :

" Sesungguhnya Allah SWT menyukai seseorang yang melakukan kerja dengan tekun 
( bersungguh-sungguh )"

Hadis riwayat al Baihaqi


........................................................................................................................................................................

Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa

Berbudi
Tidak ada ruginya apabila kita berbuat baik dengan orang lain. Sekiranya orang berbudi atau membuat kebaikan, tidak ada salahnya jika berbahasa yang baik pula dengannya. Kebaikan tersebut berkemungkinan dibalas dengan perkara yang lebih baik. Berkemungkinan budi bahasa yang telah ditunjukkan dibalas dengan hidangan yang enak-enak. Hidangan enak yang diberi itu dapatlah kita merasainya.

Peribahasa orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa membawa maksud sekiranya seseorang itu telah berbudi kepada kita, seharusnya kita membalas budi orang tersebut.
     
           Seseorang yang cemerlang akan membantu guru-guru dan rakan sekelas.Memadam papan putih, membentu guru membawa buku-buku, menunjuk ajar rakan-rakan sekelas adalah antara kebaikan yang boleh diberikan.

Budi yang boleh ditunjukkan oleh seorang pelajar cemerlang ialah :
  1. Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT
  2. Berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru, adik-beradik dan rakan-rakan.
  3. Menunjukkan rasa terima kasih seperti akur vperintah, hormat-menghormati dan sebagainya.
  4. Memberikan hadiah kepada mereka yang telah membantu kita.
Rumusan :

Sekali atau dua kali orang menolong kita tanpa berkira, sekiranya kita tidak berterima kasih dengan mereka, maka itu sahaja lah pertolongan yang bakal kita terima. Sebaliknya, jika kita mengucapkan terima kasih, bermanis muka, memberi hadiah dan sebagainya atas pertolongan yang diterima, sudah pasti orang suka untuk menolong kita pada masa hadapan. Guru-guru tidak meminta sebarang balasan, namun keceriaan dan minat kita terhadap pelajaran menjadikan guru-guru bersemangat untuk menyampaikan ilmu kepada kita.


......................................................................................................................................................................

Belakang Parang Pun Kalau Diasah Nescaya Tajam

Parang boleh digunakan untuk memotong kayu dan benda-benda yang keras. Bahagian hadapannya dipanggil mata. Mata ini apabila diasah akan menjadi tajam. Mata parang diasah dengan menggunakan batu pengasah. Jika mata parang semakin menipis maka, kerja-kerja mengasah akan menjadi mudah. Belakang parang mempunyai permukaan yang sedikit tebal. Sukar untuk mengasah belakang parang kerana sifatnya ( besi dan tebal ). Namun, jika berusaha mengasah belakang parang, lambat-laun parang akan menjadi tajam.

Parang

Pepatah ini bermaksud seseorang yang dianggap bodoh itu akan menjadi pandai 
jika diasuh dengan berhemah.

         Semua orang dijadikan sama sahaja. Dalam satu keluarga ada adik-beradik yang pandai dan ada yang kurang pandai. Jika dilihat tingkah-laku, amalan dan kesungguhan mereka barulah kita tahu kenapa adik-beradik tersebut berbeza tahap pencapaian mereka.

         Seseorang pelajar itu harus mempunyai matlamat hidupnya bagi memberi faedah-faedah berikut kepadanya :
  1. Memberi panduan arah dan tujuan.
  2. Mendorong dan menyuntik semangat diri.
  3. Pengurusan masa yang lebih baik.
  4. Sebagai panduan untuk muhasabah diri.
  5. Menyedarkan diri sendiri.
Rumusan :

Tidak ada mereka yang bodoh kecuali meraka yang mencari kebodohan untuk mereka sendiri. Seseorang yang berasakan dirinya bodoh serta membiarkan dirinya begitu akan terus menjadi bodoh. Seseorang yang berasakan dirinya bodoh dan mahu memperbaik dirinya serta berusaha mencapai matlamatnya ( iaitu memperbaik dirinya ) akan terus mendapat kecemerlangan.

........................................................................................................................................................................


Belum Disuruh Sudah Pergi, Belum Dipanggil Sudah Datang

Seorang ibu atau bapa akan berasa sungguh gembira apabila melihat anaknya menurut perintah tanpa banyak bersoal jawab. Ibu atau bapa akan lebih gembira jika anaknya melakukan sesuatu tanpa disuruh seperti mengemas katil, menjemur baju, menyapu sampah dan sebagainya. Belum disuruh sudah pergi seperti belum pun disuruh oleh ibunya menjerang air, anaknya sudahpun pergi menjerang air. Belum dipanggil sudah datang- Umpama belumpun ibu atau bapa memanggil untuk mengemas meja makan, anak tersebut sudah datang membantu.

Rajin membaca buku

       Maksud pepatah ini ialah orang yang rajin atau orang yang tidak memerlukan suruhan 
dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.


           Orang yang rajin tahu apabila mereka harus melakukan sesuatu. Orang yang rajin ialah orang yang berdisiplin. Sebagai seorang pelajar disiplin berikut haruslah dipatuhi :
  1. Datang awal ke sekolah- apabila tiba awal di sekolah, seorang pelajar itu lebih bersedia.
  2. Bersedia sebelum ke sekolah- pelajar yang cemerlang akan bersedia menyiapkan kerja sekolah serta bersedia dengan subjek baru yang akan diajar pada hari tersebut.
  3. Bersedia awal untuk peperiksaan- pelajar cemerlang tidak menunggu saat akhir untuk membuat persediaan peperiksaan.

Rumusan :       

 Rajin tidak akan datang begitu sahaja. Rajin adalah disiplin dan disiplin seharusnya dipupuk. Disiplin itu ialah amalan dan amalan itu harus dilakukan. Jika sesuatu perkara itu tidak diamalkan secara berterusan, maka kita akan berasa kekok. Kekok melakukan sesuatu akan menimbulkan rasa malas.


........................................................................................................................................................................


Aur Ditanam, Betung Tumbuh

Apabila kita pergi ke sungai-sungai, kita akan melihat rimbunan pokok-pokok buloh. Kita juga pernah mendengar peribahasa seperti aur dengan tebing, yang bermaksud suka bantu-membantu. Aur ialah buluh. Terdapat pelbagai jenis buloh seperti buluh cina, buluh kuning, buluh hitam dan sebagainya. Aur iai adalah daripada jenis buluh yang kecil-kecil. Manakala betung pula ialah ketegori buluh yang besa5r seperti buluh betung.

Aur
Buluh Betung



Pepatah aur ditanam, betung tumbuh bermaksud mendapat pulangan yang besar dengan usaha atau modal yang sedikit. Ada juga pepatah betung ditanam, aur yang tumbuh yang membawa maksud sebaliknya.

          Kebanyakan pelajar tidak berasa penat jerihnya untuk mendapatkan wang ringgit semasa belajar. Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memperoleh wang ringgit untuk kemajuan anak mereka. Pelajar-pelajar hanya perlu belajar. Modal mereka kecil, sekadar memerah otak yang jiuga kecil. Hasilnya kelak akan dinikmati sendiri atau diagih-agihkan sedikit sahaja kepada ibu bapa. Mereka hanya berusaha sedikit untuk hasil yang banyak.

No comments:

Post a Comment