Sunday 9 June 2013

Pendidikan Jasmani Penting Atau Tidak ?


Sikap kebanyakan guru “ mencuri ” masa mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK) untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan dikenal pasti sebagai salah satu punca bilangan murid gemuk bertambah di sekolah rendah. Kajian yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati menjelang musim peperiksaan terutamanya, kebanyakan guru tidak menggunakan waktu PJPK untuk tujuan sebenar sebaliknya menggunakan waktu itu untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan. Profesor Madya Dr. Norimah A. Karim berkata, masa untuk PJPK ialah dua kali seminggu tetapi terdapat guru mengambil waktu-waktu itu untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan.

      Kebanyakan guru menganggap mata pelajaran peperiksaan lebih penting daripada PJPK bagi menyediakan murid menghadapi peperiksaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau ditemui dalam Majlis Pertandingan Senamrobik dan Lukisan sempena kempen Sekolah Sihat Nestle - Kementerian Pendidikan di Petaling Jaya, Selangor.

           Kajian yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM, Profesor Dr. Mohd Ismail Noor itu telah dijalankan pada tahun 2001. Seramai 12,000 murid daripada pelbagai kumpulan etnik dan kawasan dari seluruh Semenanjung Malaysia dipilih menjadi responden.

            Borang soal selidik disediakan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil dan diedarkan di sekolah bandar dan luar bandar. Bidang yang ditanya dalam soal selidik itu ialah tabiat pemakanan murid yang meliputi sarapan, makanan ringan dan minuman serta pengetahuan mengenai makanan berkhasiat.

        Dr. Norimah seterusnya berkata, keadaan itu menyebabkan murid menjadi lebih malas untuk melakukan aktiviti fizikal sekali gus menyumbang kepada masalah kegemukan.``Sudahlah di rumah, murid tidak melakukan aktiviti fizikal, di sekolah juga keadaannya begitu dan ini boleh menyebabkan masalah lain pula yang muncul,'' ujarnya. Masalah itu berkaitan dengan pelbagai penyakit berkaitan kegemukan seperti paras kolestrol atau gula yang tinggi dalam darah. Selain itu, kajian turut mendapati sebanyak 30 peratus murid sekolah rendah di Semenanjung Malaysia tidak mengambil sarapan sebelum ke sekolah.

              Menurut Dr. Norimah, kajiannya mendapati terdapat beberapa sebab kenapa ia berlaku dan yang
Paling utama ialah murid tidak sempat bersarapan. Faktor tidak sempat juga katanya menyebabkan ibu bapa tidak dapat menyediakan sarapan untuk anak-anak. Menurutnya, ibu bapa tidak sempat menyediakan sarapan kerana murid terpaksa ke sekolah pada awal pagi. Kajian mendapati murid keluar rumah terlalu awal sekitar 6.30 pagi sekaligus menyebabkan ibu bapa tidak sempat menyediakan sarapan pagi

             Dr. Norimah berkata, penemuan lain dalam kajian itu ialah sebanyak 25 peratus murid mengalami masalah lebih berat badan iaitu 76 peratus murid tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal pada waktu lapang dan 32 peratus murid tidak makan malam bersama keluarga.``murid menjadi gemuk kerana kurang aktiviti fizikal. mereka lebih suka mengisi masa lapang dengan menonton televisyen; permainan video atau komputer,'' katanya. 


Sumber
Rohana Man
Utusan Malaysia 27 Oktober 2003

No comments:

Post a Comment