Thursday, 30 May 2013

Kesihatan Diri

 Makanan-Makanan Yang Dipuji Dalam Al Quran dan Hadis


Ada beberapa makanan yang dipuji oleh Al Quran dan Hadis. Makanan-makanan ini terpilih kerana kemanfaatan kepada hidup manusia. Antaranya ialah :
 Buah Zaitun
1) Minyak Zaitun

          " (Kami tumbuhkan untuk kamu ) pokok yang asal tumbuhnya di Gunung Tursina yang   mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang yang makan."
                                                                                                                 ( Surah al Mukminun : ayat 20 )

 Abu Hurairah juga menceritakan yang Rasulullah pernah berkata,

       " Makanlah zaitun dan berminyaklah dengannya. Ada satu penyakit yang dapat disembuhkan dengannya. Satu di antaranya ialah kusta."                                                                 

         Apakah keistimewaan pohon zaitun sehingga dipuji sedemikian di dalam Al Quran dan Hadis ? Minyak zaitun ini  selain rasanya yang lazat dan digunakan oleh manusia selama beribu-ribu tahun, pohon-pohonnya indah dan berumur panjang. Akar-akar pohon zaitun kuat mencengkam ke bumi sehingga nampak seperti berdiri kukuh perkasa. Ini menimbulkan rasa hormat dalam tamadun-tamadun yang menanamnya. Pohon zaitun menyimpan pelbagai misteri kesihatan yang luar biasa.

         Pakar bedah yang menjalankan pembedahan pemindahan jantung yang pertama di dunia, Dr Christian Barnard menyarankan supaya semua orang belajar bagaimana orang Yunani Crete di kawasan Mediterranean menjaga kesihatan jantung mereka. Menurut Barnard, komuniti ini adalah yang jarang sekali menghidap serangan sakit jantung. Antara alasan yang membuatkan masyarakat Crete ini jarang terkena serangan sakit jantung adalah amalan mereka mengambil minyak zaitun. Minyak yang mengandungi kandungan lemak yang bermutu tinggi.

         Andrew Weil, MD juga mengakui minyak zaitun adalah minyak yang terbaik daripada semua lemak yang dapat dimakan. Tubuh badan manusia lebih mudah menerima asid lemak yang terkandung di dalam minyak zaitun iaitu asid oleat. Minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu. Minyak ini tidak mempengaruhi peningkatan kadar kolestrol dalam darah, kaya dengan vitamin E dan bersifat anti oksidan. Minyak zaitun juga mengandungi polyphenols yang bersifat anti inflamasi. Makanan-makanan yang mengandungi anti oksidan adalah makanan kelas satu dalam dunia kesihatan masa kini. Minyak zaitun mampu melawan radikal bebas dan mencegah banyak penyakit degeneratif seperti tekanan darah tinggi, serangan sakit jantung dan strok, melambatkan proses penuaan, melawan kanser dan alergi.

         Mengikut beberapa hadis yang diceritakan oleh Rasulullah SAW, baginda selalu mengambil campuran minyak zaitun dan cuka yang menjadi sebahagian daripada menu utamanya pada setiap hari. 

2) Kurma
   
          Kurma atau buah tamar adalah makanan yang disyorkan kepada Maryam, ibu Nabi Isa ketika beliau melahirkan Nabi Isa ( Surah Maryam, ayat 25-26 ). Kurma juga makanan yang sentiasa dipuji oleh Rasulullah SAW. Kurma adalah simbol kepada makanan yang efisyen. bentuknya kecil, namun mengandungi 50 peratus glukosa ringkas.

         Menjadikan buah kurma ini dapat digunakan sebagai sumber kalori tanpa melalui proses pemecahan enzim yang lebih lanjut seperti sumber-sumber karbohidrat kompleks yang lain. Lapisan kulit buah kurma mengandungi serat yang bermanfaat buat sistem penghadaman, mencegah sembelit dan menurunkan risiko terjadinya gangguan kolorektal. Kandungan Kalium yang tinggi pada kurma bermanfaat buat jantung, saluran darah, otot dan saluran penghadaman. Kurma juga mengandungi tanin yang berfungsi sebagai pencegah cirit-birit.

3) Susu

          Susu adalah makanan yang lengkap dan bergelar " lima sempurna " dalam kamus nutrisi. Kandungan kalsium susu yang tinggi bermanfaat bagi jantung, otot serta metabolisme, khususnya dagi kesihatan gigi dan tulang. Rasanya kebaikan ini sudah lama diketahui umum. Susu adalah antara makanan terbaik dari segi nutrisi dan mutunya.

4) Daging Burung

          Daging burung antara model makanan yang menjadi menu makanan di syurga nanti ( Surah al Waqi'ah, ayat 21 ).Mingkin kerana kelebihan-kelebihannya. Berbanding sumber-sumber makanan haiwan yang hidup di darat, kelompok unggas atau burung adalah lebih rendah paras kolestrolnya. Lemak pada burung juga berbeza dengan lemak pada haiwan ternakan. Lemaknya sudah terpisah dan terdapat pada lapisan kulitnya sahaja. Mudah bagi memisahkan dan membebaskan menu makanan daging burung daripada lemak. Antara semua sumber makanan, lemak adalah zat yang paling tidak dimahukan, terutamanya kelompok lemak tepu, lemak trans dan kolestrol yang banyak ditemui pada sumber haiwan ternakan.

5) Madu

Madu Lebah

          Satu-satunya makanan yang dinamakan di dalam Al Quran sebagai ubat ialah madu ( Surah an Nahl : ayat 69 ). Perkataan Syifa yang disematkan pada madu bererti bersifat mengubati secara umum dan menyeluruh. Madu mengandungi glukosa dan fruktosa dalam jumlah yang tinggi dan mudah diserap. Madu juga mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin A, B1, B2, mineral seperti kalsium, natrium, kalium,magnesium, besi, garam iodin dan radium. Malah juga mempunyai organik seperti asid malat, tartarat, sitrat, laklat dan oksalat.

          Mengenai kemampuan teraputiknya pula, kajian menunjukkan madu bersifat antimikrob dengan kandungan lysozym yang efektif mencernakan bakteria negatif. Pelbagai jenis enzim terdapat dalam madu antaranya diastase, invertase, katalase, peroksidase dan lipase. Enzim-enzim katalase pada madu berfungsi memecahkan peroksida iaitu radikal bebas yang mempercepat proses penuaan dan menyebabkan banyak penyakit degeneratif.

          Segalanya yang berkaitan dengan lebah dan madu amat menakjubkan. Lebah adalah serangga yang menarik dengan karektor yang terpuji dan unik. Kerjasama antara kelompok lebah dalam mengeluarkan madu dijalankan dengan gigih, profesional dan mengikut pengkhususan kerja yang teratur. Lebah madu ( apis mellifera ) menghisap nektar bunga, yang berupa cairan kental seperti sirap yang berwarna kuning atau coklat kekuningan. Nektar ini dihisap melalui lidah oleh lebah pekerja, lalu disimpan sementara dalam perutnya.

          Proses enzim pemecahan karbohidrat pada ludah lebah mengubah sukrosa dalam nektar menjadi dekstrosa dan fruktosa. Lebah pekerja kemudian memuntahkan nektar yang sudah separa hadam menghasilkan gula mudah itu ke dalam ruang kecil pada sarang lebah yang terbentuk daripada lilin yang berpola heksagon ketika mereka pulang ke sarang.

          Proses berikutnya dilakukan oleh lebah penjaga sarang. Ketika proses itu terbentuk bahan hidroksi metil furfural yang bersifat antibakteria dan anti kulat serta berfungsi sebagai bahan pengawet. Seterusnya lebah penjaga sarang mengibas-ibaskan sayapnya supaya air dalam madu dapat terwap. Begitulah betapa memukau keindahan kronologi pembuatan madu lebah. Bangeris adalah nama pohon tempat lebah madu bersarang seperti selebriti di dalam hutan belantara. Batangnya putih dan bercahaya sehingga memikat hati lebah membangunkan sarang heksagonnya di situ.


6 ) Habbatussauda


Habbatussauda

Rasulullah SAW pernah berkata :

" Gunakanlah Habbatussauda kerana di dalamnya terdapat ubat bagi 
segala penyakit kecuali maut "

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim 

          Bagaimana lagi dapat kita tafsirkan kenyataan menyembuhkan segala penyakit yang terdapat dalam hadis di atas. Dalam kajian kita mengenai Habbatussauda atau jintan hitam, didapati suplemen ini mengandungi elemen-elemen yang dapat meningkatkan sistem imun tubuh iaitu imunomodulator. Imunomodulator mengeluarkan interferon yang penting dalam sistem imun badan.


7 ) Susu Awal Ibu Yang Tidak Terganti


Susu Ibu    



Susu awal ibu tidak dapat digantikan dengan apa jua susu atau bahan-bahan makanan yang lain. Quran mencadangkan pemberian susu ibu kepada anak selama 2 tahun penuh.

" Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu"

Surah Al-Baqarah : Ayat 233  
          Pakar-pakat pediatrik pula menyarankan supaya bayi yang baru lahir diberikan susu ibu secara eksklusif selama sekurang-kurangnya enam bulan pertama. Disamping memberikan makanan pelengkap, susu ibu juga memberikan bayi zat-zat imun seperti immunoglobulin.

              Bayi-bayi yang diberi susu ibu nyata lebih tahan jangkitan penyakit berbanding sebaliknya. Kegiatan menyusu bayi juga proses penjalinan hubungan emosi antara ibu dan bayinya. Bagi Si ibu sendiri, menyusukan bayi bermanfaat membakar kalori dan mengurangkan berat badan yang sudah meningkat selama hamil dan turut mengurangkan risiko kanser payudara. Sayang sekali apabila golongan feminis yang radikal menolak peranan ibu yang sepatutnya menyusu dan menggantikannya dengan susu formula daripada lembu.




No comments:

Post a Comment